KOLUM | “Saya dulu memang nak sangat main bola. Tapi masa tu langsung tak ada peluang sebab saya perempuan.
“Jadi, cikgu paksa saya main bola jaring,” kata Dr Dayana Nisbar.
Pengakuan salah seorang jurulatih di program Goal Getters Football Clinic anjuran Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bersempena Minggu Bola Sepak Wanita PFAM tempoh hari bukan sekadar sebuah anekdot peribadi.
Ia adalah luahan trauma kolektif generasi wanita dewasa di negara ini yang minat mereka terhadap bola sepak ketika kanak-kanak dipadamkan seawal di bangku sekolah.
Sistem sukan di sekolah sekian lama mengasingkan permainan secara tegar mengikut jantina: lelaki di padang bola; perempuan pula di gelanggang bola jaring.
Sebagai seorang daripada jurulatih yang turut mengendalikan latihan teknikal untuk lebih 35 peserta wanita cilik kategori bawah 12 tahun dan bawah 15 tahun di Padang Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Bangi pada hari tersebut, kata-kata itu menjentik fikiran saya.
Hari ini, Dayana berdiri di atas padang bukan lagi sebagai budak perempuan yang dinafikan haknya, tetapi sebagai seorang jurulatih bakat akar umbi yang membimbing generasi baru sambil menggalas kerjaya hakikinya yang sangat terjamin sebagai saintis di Institut Penyelidikan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Di atas padang, kualiti kawalan bola, koordinasi dan kelincahan anak-anak gadis yang ada langsung tidak berbeza dengan budak lelaki. Namun di luar padang, takdir serta potensi mereka kerap ditentukan oleh dinding persepsi, norma tradisi dan struktur ekosistem yang rapuh.
Keutamaan aspek keselamatan
Kisah Dayana menelanjangkan bagaimana budaya patriarki secara halus telah membina naratif bahawa bola sepak adalah lapangan eksklusif buat kaum lelaki. Kebimbangan masyarakat kerap berputar di sekeliling isu fizikal, penampilan, kesusilaan dan aurat.
Namun, realiti di Uniten tempoh hari membuktikan sebaliknya. Peserta yang mengenakan pakaian sukan patuh syariah dan bertudung tidak kekok melaksanakan latihan teknikal dengan lincah.
Sokongan ibu bapa yang tekun menanti di tepi padang pula menandakan bahawa persepsi masyarakat moden sebenarnya sudah mula beranjak.
Ibu bapa tidak lagi teragak-agak memberi sokongan padu apabila persekitaran yang disediakan adalah selamat, beretika dan kondusif.

Klinik asas bola sepak itu diketuai jurulatih berpengalaman, Md Norzalizan Mahamad, bersama barisan tenaga pengajar wanita – termasuk Dayana serta tiga orang jurulatih yang merupakan bekas pemain bola sepak wanita iaitu Fatin Shahida Azmi, Nur Shazreen Munazli dan Cassandra Smith.
Kehadiran mereka menunjukkan betapa penganjur melihat kritikalnya aspek keselamatan dan kesejahteraan yang selari dengan polisi Kod Sukan Selamat diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan.
Apabila ekosistem sukan dipimpin oleh jurulatih yang memahami fisiologi serta psikologi atlet wanita, maka ketakutan dan kerisauan masyarakat – terutamanya ibu bapa – secara automatik dapat dileburkan.

Inisiatif PFAM dengan sokongan beberapa syarikat korporat itu tentunya wajar dipuji kerana mengisi ruang kosong pembangunan akar umbi.
Namun, kita perlu bertanya soalan yang lebih besar: Ke mana hala tuju anak-anak gadis itu kelak?
Kehadiran Dayana – seorang saintis KKM yang juga jurulatih bola sepak – adalah bukti nyata kepada jawapan masa depan bola sepak wanita negara: Model Dwi-Kerjaya (Dual-Career Model).
Tanpa perlu menjanjikan bulan dan bintang tentang kerjaya sebagai pemain bola sepak di Malaysia, saya secara peribadi berpendapat inilah model yang paling releven dan praktikal dengan mengambil kira pelbagai aspek.
Pentingnya sains sukan
Adakah kita mahu memaksa bola sepak wanita Malaysia mengikut acuan Liga Super lelaki – sebuah ekosistem yang sehingga hari ini masih bergelut dengan krisis gelembung kewangan, isu tunggakan gaji berlarutan dan kelab yang bungkus di pertengahan musim?
Adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab jika kita mengumpan bakat wanita muda dengan janji palsu “pemain profesional” hanya untuk membiarkan mereka terdedah kepada ketidakpastian masa depan apabila menggantung but kelak.
Menerusi status separa professional (atau atau mudah disebut semi-pro) yang terancang, fokus utama ialah memastikan atlet wanita kita memperoleh pendidikan tinggi di universiti dan membina kerjaya hakiki yang mampan, sambil terus beraksi di peringkat tertinggi dalam saingan liga domestik.

Atlet yang terpelajar bukan sahaja mempunyai jaminan kewangan yang kukuh pascapersaraan, malah memiliki literasi kognitif dan daya ketahanan mental yang lebih tinggi di atas padang.
Bagaimanapun, timbul juga persoalan penting: Sejauh mana kemampuan skuad kebangsaan wanita negara (Malayan Tigress) untuk bersaing di peringkat antarabangsa jika sebahagian besar pemainnya sekadar berstatus semi-pro?
Di sinilah pentingnya sains sukan moden.

Skuad hoki kebangsaan kita telah lama membuktikan bahawa status semi-pro tidak pernah menjadi penghalang untuk negara mengekalkan kedudukan sebagai gergasi Asia dan berada di kelompok 15 terbaik dunia.
Dalam era bola sepak berorientasikan data hari ini, kualiti latihan tidak lagi diukur pada tempoh serta bilangan jam latihan semata-mata, tetapi pada sejauh mana latihan itu dirancang secara saintifik.
Menerusi pemantauan teknologi GPS, analisis taktikal berasaskan video dan program pemusatan atlet berprestasi tinggi di bawah Majlis Sukan Negara, pemain yang mempunyai tahap kecerdasan kognitif tinggi mampu menyerap pelan permainan (game-plan) dengan jauh lebih pantas.
Generasi berkeyakinan tinggi
Apabila latihan disesuaikan secara khusus mengikut fisiologi wanita – termasuk aspek pemakanan dan pemulihan – jurang fizikal dengan pasukan antarabangsa dapat diimbangi secara sistematik.
Inisiatif seperti Minggu Bola Sepak Wanita PFAM dengan tema Meraikan Wanita, Memberi Inspirasi kepada Bintang Masa Depan ialah cerminan kepada potensi sebenar yang kita miliki.
Bola sepak wanita di Malaysia tidak perlu mengejar bayang-bayang atau kesilapan struktur bola sepak lelaki untuk diakui kewujudan dan keberadaannya.

Profesionalisme sebenar bukanlah terletak pada gelaran tetapi bagaimana kebajikan, pendidikan, sains sukan serta masa depan atlet ditadbir secara berintegriti dan mampan.
Tidak keterlaluan untuk ditegaskan bahawa kita tidak mahu episod hitam yang pernah mencalar maruah skuad Harimau Malaya – akibat ketamakan serta kegopohan mengejar kejayaan secara jalan pintas – berjangkit pula ke dalam arena bola sepak wanita yang baru hendak bertunas ini.
Sebaliknya, menerusi penyediaan ekosistem yang cermat dan selamat, sambil dibantu pemerkasaan akademik yang berstruktur, kita bukan saja mampu melahirkan pemain bola sepak yang bijak serta taktikal di atas padang, malah membina generasi wanita yang berkeyakinan tinggi untuk memimpin masyarakat.
NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang kini lebih memberi fokus kepada bidang penulisan serta kejurulatihan kerana semakin berusia dan semakin terkekang kudratnya.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi VoxPop.

